Wednesday, May 24, 2006

KEHANCURAN SEBUAH TAMADDUN


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian .


Saya berpesan kepada diri saya dan semua sidang jumaat sekelian , agar bertaqwa kepada Allah . Melaksana perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Menghayati syariat Allah swt dan menghidupkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan seharian .


Marilah Kita memastikan diri kita agar benar – benar menjadi seorang muslim mukmin yang muttaqin . Menjadi seorang hamba yang menyerah diri kepada Allah , yakin dan takut kepada Allah swt .


Ingatlah ! bahawa kita adalah khalifah Allah swt . yang diamanahkan untuk memakmurkan muka bumi ini dengan syariat Allah dan mengisi tamaddunnya dengan pengabdian diri kepada Allah swt .


Sidang Jumaat sekelian .


Tamaddun atau peradaban adalah suatu pencapaian dalam kehidupan manusia yang beranjak maju ke hadapan menyaingi zaman . Tamaddun , pada sifat umumnya adalah menjanjikan kesenangan , keselesaan , kemodernan , kemudahan , kekayaan dan kecanggihan dan kenikmatan buat manusia .


Demikianlah episode tamaddun yang pernah dilalui oleh ummat manusia sejak dari zaman kuno atau zaman batu hinggalah ke zaman millennium yang serba canggih dan ranggi .


Muslimin sidang Jumaat yang dihormati sekelian .


Tiada siapa dikalangan ummat manusia yang menolak tamaddun , malah Islam sendiri tidak anti tamaddun sebaliknya Islam menerima dan memelihara tamaddun yang menjadi tabii’e dalam kehidupan manusia di muka dunia ini .


Namun menjadi satu tragedy malang , apabila sesebuah tamaddun itu , mengenepikan unsur spiritual yang berasaskan wahyu ilahi , lalu menjadikan material asas utama pembinaan tamaddun tersebut .


Malang seribu kali malang , bagi sebuah Tamaddun yang tidak lagi meletakkan tauhid sebagai asas orientasinya , syiar islamiyyah sebagai asas pembangunannya , akhlak solehah sebagai asas komunikasinya , amanah dan jujur sebagai asas intergritinya , adil dan saksama sebagai asas pentadbirannya dan istighfar sebagai asas hisbahnya .


Sidang Jumaat sekelian ,


Tamaddun yang lompang syariat dan sunnah tersebut , kini telah bertukar menjadi ancaman besar kepada ummat manusia .


Apabila manusia dan tamaddunnya telah dipengaruhi oleh material tanpa spiritual atau kebendaan tanpa kerohanian , akhirnya melahirkan manusia yang rakus serta tamak memburu kebendaan dan kekayaan dunia , tanpa memperdulikan halal haram juga dosa pahala .


Manusia dan tamaddun seperti ini tidak lagi menjanjikan kebahagian dan ketenangan sebaliknya kehancuran dan kemusnahan .


Inilah reality yang pernah diperingatkan oleh Allah Qadhi Rabbul Jalil :


ظَهَرَ اْلفَسَادُ فِي اْلبَرِّ وَ اْلبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى النَّاسِ
لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ .


Telah zahirlah kerosakan di darat dan di laut angkara perbuatan tangan manusia, lantas Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka , agar mereka kembali ke jalan yang benar .


Ar Ruum : 41


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian .


Kini dunia sedang menyaksikan aliran tamaddun kebendaan yang begitu deras, lantas menghanyutkan manusia yang leka dan lalai . Tamaddun kebendaan ini semakin melonjak dan menggalak , lalu memerangkap manusia dalam sebuah kehidupan yang tidak lagi mengenal Allah sebagai tuhan dan tidak lagi mengharapkan Akhirat sebagai hari pembalasan .


Tamaddun hari ini bukan lagi tamaddun yang direstui oleh Allah swt . Justeru tamaddun hari ini adalah :
  • Tamaddun yang mengiktiraf arak dan judi sebagai hasil pembendaharaan Negara dengan memberi lesen operasinya .
  • Tamaddun yang mengiktiraf pesta hiburan dan pergaulan bebas sebagai ketenangan dan kedamaian kononnya dengan memberi permit aktivitinya.
  • Tamaddun yang mengiktiraf kelab – kelab malam yang menjadi pusat operasi pelacuran dengan memberi lesen kepada premisnya.


Sidang jumaat sekelian .


Tamaddun seperti ini bukan Tamaddun Islam . Sebaliknya ini adalah Tamaddun yang penuh dengan tipu daya , tamaddun yang dimurkai oleh Allah swt . Tamaddun yang hanya membawa manusia kepada nikmat dunia yang sedikit dan sementara , kelak apabila mereka mati meninggalkan dunia ini untuk berpindah ke alam barzakh , maka bermula siri baru kesengsaraan dan penderitaan hidup mereka yang penuh azab dan siksa .


Andainya kita tertipu jua dengan tamaddun seperti ini , maka samalah kita dengan kelkatu yang keluar di malam hari selepas hujan untuk mencari cahaya lampu . Kelkatu terpesona dan terpedaya dengan keindahan cahaya neon, setelah sekian lama mereka hidup dalam busut yang diselubungi kegelapan .


Tanpa tujuan mereka berterbangan dibawah cahaya lampu , semata – mata menikmati keindahan dan kemeriahan cahaya lampu yang sementara , akhirnya mereka terkorban apabila tertipu dengan biasan cahaya yang datang dari takungan air di bawah lampu tersebut .


Begitulah tamaddun kelkatu atau kelkatu hadhari yang menjunam menuju kebinasaan .


Demikianlah sidang jumaat sekelian , ramai manusia kelkatu yang menjadi mangsa fatamorgana tamaddun kebendaan hari ini . Sedang Allah swt telah mengingatkan kita dengan firmanNya :


اِعْلَمُوْا أَنَّمَا الْحَيَوةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَ لَهْوٌ وَ زِيْنَةٌ وَ تَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَ تَكَاثُرٌ فِي اْلأَمْوَالِ وَ اْلأَوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ اْلكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَـهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَ فِي اْلآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَ مَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَ رِضْوَانٌ وَ مَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ اْلغُرُوْرِ .


Maksudnya : Ketahuilah oleh mu , bahawa kehidupan dunia adalah suatu permainan , kelalaian , perhiasan , saling bermegah – megah antara kamu dan berlumba memperbanyakkan harta dan anak pinak , samalah seperti hujan yang turun, menakjubkan orang – orang kafir ( apabila ia menumbuhkan ) tumbuh – tumbuhan ( yang menghijau ) kemudian ia akan kering dan warnanya bertukar menjadi kuning kemudian hancur . Dan di akhirat nanti , ada azab yang keras dan ampunan dari Allah swt. serta keredhoaanNya sementara kehidupan dunia ini , tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu .


Al Hadid : 20


Inilah reality sebuah tamaddun yang tidak tunduk kepada peraturan dan hukum
hakam Allah swt.


Kita lihat pula bagaimana tragedy yang dialami oleh sebuah tamaddun yang menentang hukum Allah . Firman Allah swt :


أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ إِرَمَ ذَاْتِ الْعِمَادِ اْلَّتِىْ لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِيْ الْبِلاَدِ
وَثَمُوْدَ الَّذِيْنَ جَابُوْا الصَّخْرَبِاْلوَادِ وَ فِرْعَوْنَ ذِى اْلأَوْتَادِ اْلَّذِيْنَ طَغَوْا فِي اْلبِلاَدِ
فَأَكْثَرُوْا فِيْهَا اْلفَسَادَ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ
إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ
.


Maksudnya : Apakah kamu tidak melihat ( wahai Muhammad ) bagaimana Allah swt memperlakukan golongan Aa’d iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan – bangunan yang mencakar langit , yang belum pernah dibangunkan sebelum daripadanya dan kaum Thamud yang memotong batu – batu gunung yang besar di lembah dan Firaun yang mempunyai pasak – pasak tentera yang ramai . Mereka melakukan perbuatan yang melampaui batas ( toghut ) di dalam negeri lalu mereka memperbanyakkan kerosakkan dalam negeri itu , lantaran itu Allah menimpakan azab ke atas mereka . Sesungguhnya Tuhanmu benar – benar mengawasi .


Al Fajr : 6 – 14


Sidang Jumaat yang dihormati Sekelian .


Tidak banyak bezanya dengan tamaddun yang sedang dinikmati oleh manusia hari ini , yang bersifat sementara . Menyaksikan bagaimana tamaddun hawa nafsu atau ( mengikut bahasa arab sesetengah pihak sebagai ) Syahwat Hadhari atau Tamaddun Syahwat , menjadikan ummat manusia tersungkur dalam kancah maksiat dan mungkar yang kian subur .


Bangunannya hebat dan kecanggihannya dahsyat , tetapi jiwa manusianya kosong dari petunjuk ilahi . Syaitha: n dan iblis memandu mereka untuk melakukan pelbagai jenayah seperti Rasuah , Riba , Zina , Bunuh , Fitnah , Dera, Dedah , Dadah , Rompak , Samun , Ragut , Rogol , Tipu , Pecah Amanah , Khianat , Menindas dan Menzalimi mereka yang lemah dan tidak berupaya .


Jika inilah aktiviti yang menghiasi tamaddun kita hari ini , maka ia bukan lagi tamaddun islam tetapi tamaddun syaithan atau Syaithan Hadhari . Tamaddun yang menelurkan 1001 jenayah dikalangan ummat manusia untuk membinasakan mereka malah menyesatkan mereka dari petunjuk Allah swt .


Firman Allah swt .


قاَلَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِيْ َلأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي اْلأَرْضِ وَ َلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِيْنَ إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ


Maksudnya : Telah berkatalah syaithan : Tuhanku , dengan sebab engkau menyesatkan aku , nescaya aku akan hiasi permukaan bumi ini ( dengan segala maksiat dan jenayah ) dan akan menyesatkan mereka keseluruhannya kecuali hambamu dikalangan orang – orang ikhlas terhadap agamanya .


Al Hijr : 39 – 40


Sidang Jumaat sekelian , marilah kita insaf dan sedar , betapa kita perlu membersih dan mengisi tamaddun ini dengan peraturan Ilahi dan meneranginya pula dengan sinaran Al Quran .


Usaha ini belum terlambat digerakkan guna menyelamatkan generasi kita dari terus menjadi mangsa tamaddun kebendaan . Usaha ini memerlukan perjuangan yang gigih dari semua pihak untuk mendaulatkan kembali Syariat Allah , membina kembali daulah Islamiyyah yang terlaksana di dalamnya segala peraturan dan hukum allah swt. , atau membina kembali Khilafah islamiyyah yang telah runtuh sejak sekian lama .


بارك الله لكم في القرآن العظيم





Tuesday, May 16, 2006

Khutbah Jumaat ( 003 )
Oleh. Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi

WAJIB MEMBANTU PALESTINE

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekelian .

Hari yang penuh kemuliaan ini , Marilah kita pertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Jalla wa A’la , Tuhan yang mencipta kita sekaligus membekalkan segala nikmat yang tidak ternilai buat kita .

Ketaqwaan dengan maksud tunduk dan patuh kepada ketetapan syariat Allah dan meninggalkan segala laranganNya , Ketaqwaan yang meletakkan kita sebagai hamba yang taat dan soleh seterusnya layak untuk menduduki syurgaNya . Ketaqwaan yang menjadi benteng kukuh menyelamatkan kita dari menjadi mangsa kepungan jahiliyyah modern .

Ketaqwaan yang merangsang semangat juang untuk mempertahankan syariat Ilahi dan sunnah An nabawi disaat rata – rata ummat islam hari ini tidak lagi memperdulikan syariat dan sunnah dalam kehidupan mereka . Jua ketaqwaan yang membina keinsafan mendalam mengenai tanggungjawab kita terhadap Islam dan ummatnya .

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian .

Ummat Islam dewasa kini sedang menghadapi kepungan Jahiliyyah modern di seluruh dunia . Belum reda penderitaan dan kesengsaraan ummat Islam di Iraq ekoran penjajahan kuffar musyrikin Amerika dan sekutunya , Iran pula menghadapi kebencian barat yang penuh hasad dan dendam kesumat terhadap Islam .

Pada masa yang sama , HAMAS yang baru sahaja menang dan mendapat mandat daripada rakyat untuk menerajui pemerintahan Palestin , kini dikenakan sekatan ekonomi dan politik oleh pihak yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan hak kebebasan bersuara .

Dosa mereka hanya kerana mereka mahu mendaulatkan syariat Allah . Dosa mereka hanya kerana tidak mengiktiraf negara haram Israel yang menjajah Palestin . Dosa mereka hanya kerana mereka mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Allah swt :

وَ لاَ يَزَالُوْنَ يُقَاتِلُوْنَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوْكُمْ عَنْ دِيْنِكُمْ اِنِ اسْتَطَعُوْا


Maksudnya :

Dan senantiasalah mereka ( golongan musyrikin ) memerangi kamu sehingga mereka memalingkan kamu dari agama kamu jika sekiranya mereka mampu berbuat demikian .

Surah Al Baqarah . Ayat : 217


Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekelian .

Menjadi satu kewajipan bagi kita ummat Islam agar turut merasai penderitaan dan keperitan yang dialami oleh saudara kita di Palestin , serentak itu kita menghulurkan bantuan berupa doa dan harta benda yang ada pada kita .

Sabda Rasulullah saw.

وَ مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِيْنَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ .

Maksudnya :

Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan ummat Islam maka ia bukan dari golongan ummat Islam .

Al hadis .


Selama lebih 60 tahun , ummat Islam Palestin hidup di medan peperangan . Mereka berada ditengah – tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Mereka di tindas dan dizalimi tanpa simpati .

Orang – orang tua mereka diusir keluar dari tanahair , lelaki mereka dikelar dan ditembak mati , wanita mereka diperkosa dan dibelah perutnya . kanak – kanak mereka diletupkan , rumah kediaman mereka dibakar dan kampung halaman mereka dimusnahkan .

Yahudi mencabul Masjidil Aqsa , meletupkan pejuang – pejuang Islam dan pemimpin mereka biarpun mereka sedang mendirikan solat tanpa senjata .

Pemimpin dan ulama’ besar Palestin seperti Syeikh Izzudin Al Qassam , Syeikh Ahmad Yassin , Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi dan lain – lain telah menemui syahid dihujung senjata Yahudi Laknatullah.

Para mujahid dan pemuda – pemuda Islam yang mahu hidup mereka merdeka, ditangkap dan dikurung puluhan tahun lamanya , dalam bilik kurungan yang sempit dan serba gelap .

Mereka diperlakukan laksana binatang , bahkan binatang lebih berhati perut berbanding yahudi laknatullah .

Demikianlah Firman Allah swt :

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِيْنَ آمَنُوْا الْيَهُوْدَ وَ الَّذِيْنَ أَشْرَكُوْا

Maksudnya :

Nescaya kamu akan dapati , manusia yang sangat tinggi kadar permusuhan mereka terhadap orang – orang yang beriman ialah Yahudi dan orang – orang yang menyengutukan Allah . ( Musyrikin ) .

Al Maaidah : Ayat 82

Saudaraku sidang Jumaat sekelian .

Setelah puluhan tahun mereka menderita dan hidup mencagar nyawa . Kini perjuangan mereka memasuki era baru apabila ditaqdirkan Allah , mereka mencapai kemenangan dalam pilihanraya dengan mandat yang diberikan oleh rakyat palestin.

Pastinya mandat itu dengan harapan agar mereka boleh bangkit semula , sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka . Aman daripada penderitaan dan peperangan .

Malang 1000 kali malang , apabila Palestin di ambang kemerdekaan , Yahudi dan Musyrikin barat sekali lagi bertindak dengan dendam mereka yang tidak kunjung padam untuk terus mengenakan tindakan ke atas Palestin dan kini mereka mengadakan kepungan ekonomi dan politik ke atas Kerajaan HAMAS di Palestin .

Sehinggi kini , HAMAS bukan sahaja terpaksa mewarisi hutang negara berjumlah USD 3 billion hasil pemerintahan kerajaan sebelumnya , tetapi para menterinya kini tidak menerima gaji sejak 3 bulan yang lalu .

Tahap pengangguran telah meningkat ketahap yang sangat membimbangkan . Makanan dan keperluan harian kian berkurangan . Termasuklah keperluan ubat – ubatan di hospital jelas tidak mencukupi .

Segalanya adalah ekoran kepungan ekonomi yang dikenakan oleh Yahudi , Amerika dan eropah ke atas Palestin . Penderaan ini dikenakan semata – mata sebagai hukuman kepada rakyat Palestin yang tidak memilih dan memenangkan calun mereka dalam pilihanraya tempoh lalu .

Saudara sidang Jumaat sekelian .

Persatuan Ulama’ Dunia ( al Ittihad al A’lami lil ulama’ al muslimin ) telah mengusulkan kepada negara – negara ummat Islam agar membantu ummat Islam dan kerajaan HAMAS yang dipilih secara demokratik dalam menghadapi pemboikotan yang yang dilancarkan oleh musuh – musuh Islam durjana.

Ketua Kesatuan Ulama’ Dunia , Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa yang menegaskan , wajibnya ummat Islam menghulurkan bantuan kepada Palestin.

Sementara itu , Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin Dr. Khalil Ismail al Hayya , telah memohon sumbangan jihad dari seluruh ummat Islam dan melancarkan kempen USD 1 ( RM 3.60 ) setiap individu muslim dalam kempen menangani pemboikotan kuffar antarabangsa terhadap ummat Islam Palestin .

Jua untuk mengatasi kesengsaraan dan ancaman kebuluran yang sedang dihadapi oleh ummat Islam Palestin .

Justeru itu sidang Jumaat sekelian , melalui suara mimbar yang mulia ini saya melancarkan infaq fi sabilillah untuk saudara sumbangkan buat saudara seagama kita di palestin .

Berbekalkan kesedaran dan keinsafan yang tinggi untuk mengangkat martabat Ummah di mata dunia , demi membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkaman Yahudi laknatullah , demi kedaulatan syiar dan syariat Allah di bumi Palestin dan pastinya jua , demi menyelamatkan insan beriman dari kesengsaraan dan penderitaan yang berterusan , maka pastikan tiada seorang pun muslimin sidang jumaat hari ini , meninggalkan masjid tanpa menyumbang dan menghulurkan Infaq fi sabilillah .

Sidang Jumaat sekelian .

Marilah kita tunaikan hak persaudaraan kita , sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah saw :

مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَ تَعَاطُفِهِمْ وَ تَرَاحُمِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ اْلوَاحِدِ
إِذَا اشْتَكَى مِنْهَ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرَ الْجَسَدِ بِالسَّهْرِ وَ الْحُمَّى
.

Maksudnya :

Perumpamaan orang – orang beriman dalam kasih sayang mereka , hubungan naluri mereka dan persaudaraan mereka seperti satu jasad . Apabila satu anggota terasa sakit, maka seluruh anggota turut berjaga dan terasa sakit ( demam ) .

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian .

Firman Allah swt :

وَ مَا ذَا عَلَيْهِمْ لَوْ ءَامَنُوْا بِاللهِ وَ الْيَوْمِ اْلأَخِرِ وَ أَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقَهُمُ اللهُ وَ كَانَ اللهُ بِهِمْ عَلِيْماً .
Dan apalah (kerugian) Yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui akan keadaan mereka.

Surah An Nisa’ : 39

Wednesday, May 10, 2006


Khutbah Jumaat ( 002 )
Oleh : Ustaz Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi


KETEGASAN BERSAMA HUJJAH SYARIA’H
( KETERBUKAAN & KETEGASAN
DI DALAM MENGHADAPI IDEALISME MASA KINI )


Saudara Muslimin Sidang Jumaat Sekelian :

Saya berpesan kepada diri saya dan seluruh sidang jamaah agar bertaqwa kepada Allah swt dengan pengertian taqwa yang sebenarnya dan marilah kita berpegang teguh dengan ajaran Islam agama yang kita anut. Justeru Islam adalah Minhajul Hayah .

Ia juga adalah Deen As Samawi yang diutus turun oleh Allah swt. Sebagai agama yang benar , maka ia diutus bersama “ Dustur ” , yang mengandungi enakmen atau akta wajib patuh .

Firman Allah swt :

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad ) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)

( Surah Al Jathiyah . Ayat : 18 ).

Tiada satu bangsa pun di atas muka bumi ini hidup tanpa dustur , malah binatang juga mempunyai dustur dan tabiat tersendiri . Lembu tempatnya didalam kampung sementara Harimau pula tempatnya di dalam hutan. Seorang Muslim , dusturnya dinamakan Syariat .

Saudara Muslimin Sidang Jumaat yang dirahmati Allah :

Islam telah menempa sejarah keagongannya . Suatu keagongan yang telah meninggalkan “ dendam kesumat ” di dalam dada musuh – musuhnya . Allah swt. telah mendedahkan :

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

( Surah Al Baqarah . Ayat : 120 )

Bermula di sinilah , “ mata telinga ” musuh tak pernah lalai , bahkan senantiasa memasang jerangkap serta mengarahkan “ algojonya ” untuk memusnahkan insan yang menganut ajaran Islam setelah mereka tak pernah mampu untuk memusnahkan Syariat Allah swt .

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

( Surah As Saaf . Ayat : 8 )

Justeru itu , untuk memastikan Ummat Islam selamat , maka muslimin dan muslimat mesti “ berpegang kejap ” dengan Syariat Allah swt . APAKAH SYARIAH ?

Definisi Syariah dapat difahami dengan mudah dan jelas melalui dialog rasmi seorang Ketua Negara bertaraf Rasul dengan Gabenornya Saiyidina Muaz ibnu Jabal rha. sebelum dihantar bertugas ke negara Yaman .

قال بِماَ تَقْضِى قال بِكِتَابِ اللهِ قال فإنْ لَمْ تَجِدْ قال بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ قال فإنْ لم تجدْ قال أَجْتَهِدُ رَأْيِى وَ لاَ آلوُ ( أي لا أقصر ) فَضَرَبَ في صَدْرِهِ وَ قال الْحَمْدُ للهِ الذِّي وَفَقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ الله لما يرَضى رسولُ الله .


Rasulullah saw. bertanya : Dengan apakah kelak kamu akan berhukum , maka jawabnya : Aku berhukum dengan kitab Allah swt .Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika sekiranya kamu tidak dapati nasnya di dalam Al Quraan ? Lalu Muaz menjawab: Aku berhukum dengan Sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika tidak juga kamu dapati nasnya di dalam Sunnah ? Lalu Muaz menjawab : Aku akan berijtihad berasaskan ilmu tanpa menyeleweng . Maka Rasulullah saw. menepuk dadanya lalu berkata : Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq kepada utusan Rasulullah saw. dengan apa yang diredhoi oleh Rasulullah saw.
Sidang Jumaat sekelian :

Jelas kepada kita , bahawa Syaria’t Islam ialah Kitab Allah , Sunnah Rasulullah saw. , Ijma’ dan Qias . Inilah Hujjah Syari’e . Lain dari empat perkara ini , ia bukan hujjah Syari’e . Suatu hal yang harus kita sedar , bahawa kini kita ditaqdirkan hidup di suatu zaman yang banyak perselisihan atau penyelewengan .

Suatu zaman berlakunya huru – hara ideology . Zaman yang perlu kepada kod penyelesaian yang agong sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasul saw. :


أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فإَنِهَّ ُمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِييِّنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا باِلنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ .


Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba . Sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu suatu masa kelak, ia akan menyaksikan perselisihan yang begitu ketara , maka wajib ke atas kamu di kala itu berpegang kepada Sunnah ku dan Sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk , genggamlah seerat-eratnya dengan geraham kamu . Waspadalah terhadap perkara baru yang direka maka sesungguhnya perkara baru yang direka ( bida’ah ) adalah sesat .

( Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi )

Wahai Muslimin saudaraku Sidang Jumaat sekelian :

Inilah zamannya . Zaman yang tersepit antara dua keadaan . Antara ummat yang jahil dan ulama yang lesu . Syariat Allah swt. dijadikan bahan persendaan dan mainan , akhirnya ummat menderita menghidap penyakit “ kurang daya tahan Aqidah ” . Aqidah ummah kian tipis , senipis kulit bawang . Aqidah mereka boleh diperjual beli dipasaran gelap dan terbuka dengan harga yang murah . Kabus kejahilan terus meliputi mereka .

Kini mereka kehilangan arah dan keliru antara “ Tindakan lawan dan Rayuan kawan.” Dunia mempamerkan nasib ummat kini , Saudara mara kita di Pattani dihalau ke hutan belantara , dinafikan hak mereka sebagai seorang muslim . Saudara mara kita di Moro , menerima nasib yang sama . Masjid Babri dirobohkan di hadapan mata ummat Islam . maruah ibu , kakak dan adik kita di Bosnia dicabul ganas .

Ya Rabbi Ya Allah . Inilah yang berlaku ke atas ummat Islam !! Ummat Islam di Kashmir , turut menderita . Kaum lelaki disembelih disiksa , kuku mereka dicabut kejam , tubuh badan mereka dikelar , kemaluan mereka dikenakan kejutan elektrik dan mereka dikurung tanpa makanan . kaum wanita diperkosa beramai – ramai , pula mereka mengajar anjing – anjing garang untuk merogol wanita – wanita muslimah .

Mereka dimandikan dengan air dingin diwaktu subuh yang dingin di musim dingin . Ummat Islam di Palestin tidak kurang penderitaan yang mereka hadapi , angkara tindakan zalim dan kejam regim Yahudi Alaihi Laknatullah . Aktivis Islam ditangkap dan dikurung dalam bilik yang sangat sempit . Tidak boleh bangun dan tidak pula boleh duduk . Dalam ruang sedemikian mereka dikurung belasan tahun malah puluhan tahun lamanya .

Kanak – kanak yang tidak berdosa dibedil tanpa simpati . Ummat Islam yang sedang khusyu’ sujud kepada Allah turut menjadi sasaran peluru liar mereka.Tanah ummat Islam dirampas dan dijajah . Ummat Islam di Afghanistan jua berhadapan dengan situasi yang sama . Mereka menjadi mangsa kerakusan dan kebuasan nafsu kuasa besar dunia .

Rumah kediaman mereka diletupkan dan kampung halaman mereka dimusnahkan. Mereka dibunuh tanpa belas kasihan . Demikian jua nasib ummat Islam di Bumi Iraq dan di beberapa bumi ummat Islam yang lain. Mereka melalui penderitaan yang perit untuk hidup sebagai seorang muslim.

Negara kita turut menjadi saksi ke atas penderitaan yang di alami oleh ummat Islam . Apabila Ummat Islam yang menggabungkan diri mereka dengan gerakan Islam diburu , diugut , difitnah , ditangkap malah ada yang telah dibunuh seperti peristiwa yang berlaku di Lubuk Merbau dan Memali Kedah .

Saudara Ku sidang jumaat sekelian :

Ummat Islam kini sedang tenat lantaran syariat Allah di “tongsampah”kan oleh ummat Islam sendiri . Mereka menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai , mereka menjadi bangsat di tanahair sendiri dan mereka menjadi hina ditengah kaum bangsa sendiri . Mereka termakan sumpah Saiyidina Omar Al Khattab rha. Apabila Omar pernah berkata :


نحنُ قومٌ أَعزَّنا اللهُ بالإسلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِ عِزَّ بِغَيْرِ ما أَعَزَّنا اللهُ أَذَلَّنا الله


Kita adalah suatu kaum yang diberi kekuatan oleh Allah dengan Islam , maka barangsiapa yang mencari kekuatan lain , selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah , maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt .

Kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mengangkat semula martabat ummah melainkan bertindak pantas mengembalikan perlaksanaan Syariat Islam dikalangan Ummat Islam . Mereka mesti dibangkitkan dari tidur yang terlalu lama . Bawalah ummah kembali menghayati Syariah Islam justeru syariatlah satu - satunya jalan keluar dari belenggu yang berpanjangan .

Syariatlah menjadi petunjuk agar ummah menemui jalan keagongan yang pernah diraih oleh golongan terdahulu .

Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

( Surah An Nahl . Ayat : 89 )

Demikianlah syariat diturunkan untuk menyelamatkan manusia dan memandu mereka ke jalan yang benar . Saudara Sidang Jumaat yang dirahmati Allah : Ketegasan berpandukan hujjah syariah antara usaha untuk memastikan ummah kembali menatang syariah sebagai pedoman hidup mereka. Setiap tindak tanduk , lagak gaya hidup seharian mestilah dirujuk kepada hujjah – hujjah syari’e demi keberkesan tindakan kita sebagai hamba Allah swt . Penggunaan nafsu atau aqal yang terpisah dari hujjah – hujjah syari’e , menjadi nokhtah bermulanya rosak binasa ummah didunia ini . Firman Allah swt.


Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

( Surah Al Mukminun . Ayat : 71 )

Dunia hancur dan manusia menjadi bangsa yang sesat tanpa pegangan . Firman Allah swt :


Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).

( Surah Al Qasas . Ayat : 50 )

MADRASAH AQLANIYYAH VS HUJJAH – HUJJAH SYARIYYAH

Saudara Sidang Jumaat sekelian :

Antara tugas utama kita ialah merobohkan “Madrasah Aqlaniyyah” yang wujud dikalangan ummat Islam hari ini , khasnya di negara kita. Kita dapat mengesan wujudnya “buruh kasar” yang sedang giat membina ‘madrasah aqlaniyyah’ ini . Sebuah ‘madrasah’ yang mendidik ‘pelajar’nya menganut ideology ciptaan manusia dan membebaskan diri dari ikatan hujjah – hujjah syari’e yang diturunkan oleh Allah swt .

‘Madrasah’ ini melahirkan mereka yang berjiwa nasionalis , pragmatis, sosialis , sekularis dan sebagainya yang bercakap mengikut rentak Islam dan kadangkala ber‘irama’ gerakan Islam .

Sebagaimana yang berlaku sekarang , gerakan yang ‘perdu’nya dipelopori oleh sebahagian mereka yang pulang dari barat . Mereka memperkenalkan Islam kononnya Islam baru . cara baru dan sebagainya , padahal segalanya tidak lebih dari putar belit yang memualkan dari pihak orientalis untuk memesongkan hujjah dan fakta syariah .

Mereka memperkenalkan projek Islamisasi dan medernis Islam . Perlu diperingatkan , walau apa pun yang diperkenalkan oleh mereka , yang menjadi lampu ‘fluorescence’ untuk mengesan kepalsuannya ialah Hujjah – hujjah Syariah yang termaktub di dalam Al Quranul Karim dan Sunnah Nabinya saw. Kita sewajarnya bertindak teliti kerana di sana ada orang yang sedap bercakap dengan menggunakan istilah – istilah Islam dan mempergunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka .

Saudara Sidang Jumaat sekelian :

Pelbagai ideology yang timbul adalah implikasi daripada tiadanya ketegasan berpandukan hujjah – hujjah syariah . Ideology ini adalah merupakan bidaah yang paling keji disisi Allah swt . Sebab berlakunya bidaah ini . Jahil mengenai sumber hukum syariah Istinbat ( mengambil ) hukum berasaskan nafsu .

Mendahului aqal dalam mengambil syariat. Justeru itu , dalam menangani perkembangan ideology yang bercanggah ini , kita mesti tegas memeranginya . Kita terbuka dalam menerima pandangan dan apa jua corak idea yang dikemukakan , tetapi kita mesti insaf bahawa prinsip kita ialah hujjah – hujjah syariah dalam menilai semua bentuk pemikiran yang dikemukakan .

Kita jangan terpedaya dengan pandangan individu atau kelompok sehingga membelakangkan syariah Allah swt . Ingatlah utusan rasmi dari hadhrat ilahi :


Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

( Surah Al Ahzaab . Ayat 36 )

Saturday, May 06, 2006

Khutbah Jumaat ( 001 )

PERTAHANKAN SYARIAH


Sidang jumaat yang dihormati sekelian .

Saban minggu , kita diperingatkan oleh suara mimbar agar bertaqwa kepada Allah swt. dengan sebenar - benar taqwa . Taqwa yang di terjemah sebagai akur , tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan apa jua yang dilarang oleh Allah swt. Taqwa yang membawa kita mengabdikan diri kepada Allah tanpa syirik .

Firman Allah swt :

Wahai manusia , takutlah oleh mu kepada Tuhanmu , sesungguhnya gegaran di hari penentuan ( kiamat ) adalah suatu yang sangat dahsyat .

Surah Al Hajj : Ayat : 1

Sidang Jumaat sekelian :

Ummat Islam dewasa kini kian dihimpit penghinaan yang tidak berkesudahan , ekoran daripada sikap sebahagian besar ummat Islam yang tidak lagi memperdulikan soal syariah , apatah lagi untuk mempertahankannya. Mereka hanya mampu memandang sepi , menyaksikan Islam diserang dari segenap arah oleh golongan Islam Liberal , Sisters In Islam , IFC dan beberapa individu anggota Kabinet yang anti Islam .

Kumpulan ini mengambil kesempatan sepenuhnya di atas kealpaan dan kelemahan yang dialami oleh ummat Islam untuk memberi pukulan yang hebat dengan maksud mematikan semangat dan Ruh Islam di Negara ini . Benarlah apa yang dipertegaskan oleh Al Quranul karim :

Orang - orang yang ingkar/kufur sangat gemar menanti saat dan detik kamu leka dari senjata kamu dan barang milik kamu sehingga mereka menyerang kamu dengan serangan yang satu ( secara serentak/gerila ).

Surah An Nisa' : Ayat 102

Sidang Jumaat sekelian :

Saksikanlah apa yang telah dilakukan oleh mereka pada hari ini , sedang ummat Islam rata - ratanya berpeluk tubuh , mereka telah turun ke padang dengan menganjurkan seminar , forum bertemu masyarakat bagi mengumpul sokongan untuk terus memberi pukulan kepada Islam dengan menuntut agar satu peruntukkan perlembagaan perkara 121 ( 1A ) , yang sedia memberi sedikit nafas kepada Ummat Islam di negara ini ,di mansukhkan daripada nas perlembagaan negara .

Semata - mata perkara 121 (1A) yang memberi peruntukkan agar keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dibatalkan oleh mana - mana mahkamah dalam negara ini , tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt .

Kita tidak menafikan kemungkinan berlaku kelemahan dalam pengendalian dan pengurusan mahupun teknikal penghakiman di Mahkamah Syariah , namun itu bukan bermakna mereka berhak untuk mempersoalkan perkara yang membabitkan prinsip dan dasar syariah serta mahkamahnya di negara ini .

Kenapa tidak sahaja mereka menumpukan kepada aspek membaiki pentadbiran dan pengurusan serta pengendalian mahkamah Syariah , berbanding sikap yang diambil oleh mereka agar kredebiliti Mahkamah Syariah dicabar . Atau mereka sememangnya ingin menunjukkan semangat permusuhan mereka terhadap Islam ? dan amat malang sekali apabila ada dikalangan ummat Islam terpedaya dengan sikap yang diambil oleh musuh - musuh Islam ini .

Perlu disedari , Negara kita bukanlah negara yang melaksanakan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt , iaitu menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai hukum/perlembagaan yang paling tinggi dalam negara ini .

Negara kita juga bukanlah negara yang telah menjalankan hukum Allah sebagaimana apa yang diperintahkan oleh Allah swt :
Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar kamu menunaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dikalangan manusia , maka berhukumlah dengan adil ( berasaskan hukum Allah ) .
Surah An Nisa' 58

Namun sekurang - kurangnya kita masih ada satu ruang yang kecil untuk ummat Islam bernafas di negara ini , apabila perlembagaan negara memberi peruntukan sedemikian kepada Mahkamah Syariah .

Andainya ruang yang sesempit ini juga mahu ditutup oleh mereka , maka dimana lagi ruang bagi ummat ini menjaga , sekurang- kurang hak mereka yang berkaitan dengan syara' , apabila selepas ini , keputusan mahkamah syariah bila - bila masa sahaja boleh dibatalkan oleh mahkamah sivil . ( andainya peruntukkan 121 (1A ) perlembagaan ini berjaya dimansukhkan oleh mereka )

Namun Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah swt . kerana YAB Perdana Menteri telah mengambil keputusan awal untuk tidak meminda artikel 121 ( 1A ) itu biarpun beberapa anggota menteri kabinet mendesak menerusi memorundum kepada kepada YAB Perdana Menteri .

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian .

Kita sewajarnya bangkit ! melahirkan rasa kesal dan bantahan kita terhadap usaha yang dilakukan oleh golongan anti agama ini . Kita juga berharap agar pihak berkuasa bertindak tegas menjaga kesucian agama dalam negara ini dengan tidak membiarkan agama dan seluruh institusinya dipersenda dan diperkotak-katik sedemikian rupa .

Saudara ! sungguhpun begitu , di sana ada satu perkara yang perlu diberi perhatian . Agar Islam dan ummatnya tidak lagi diperlakukan begini . Apa yang saya maksudkan ini ialah kepekaan dan daya sensitiviti kita sebagai umat Islam perlu dipertingkatkan . Sangat menyedihkan kita , apabila mutaakhir ini , kita bukan sahaja berhadapan dengan kepungan musuh dari arah luar ,malah kita juga sedang bergelut menghadapi barah dan penyakit dalaman ummat Islam sendiri .

Bayangkan saudara , di mana hendak diletakkan maruah kita , apabila anak bangsa kita pada hari ini , tanpa segan silu tergamak melakukan perbuatan zina di khalayak ramai sebagaimana yang dipaparkan di muka hadapan , melalui 4 keping gambar slide oleh akhbar Bacaria bil : 2187 . Edisi Rabu pada 28 dec 2005 yang lalu .

Demikian juga apa yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri , sewaktu saya menyertai xpdc dakwah di Dataran KLCC pada malam sambutan tahun baru masihi 2006 yang lalu . Perempuan ditangan kiri mereka sementara arak ditangan kanan mereka . Mereka bukan sahaja berhibur tetapi berpesta dengan maksiat yang keji tanpa rasa berdosa dan bersalah .

Mereka lansung tidak ambil pusing tentang peringatan nabi saw :

...Tidak jelas perzinaan pada sesuatu kaum sehinggalah mereka berani berterus terang ( terbuka ) melakukannya , mereka akan ditimpa taun ( wabak ) yang merebak dikalangan mereka . Mereka akan ditimpa penyakit yang belum pernah menimpa ummat yang terdahulu .
Riwayat Ibnu Majah .
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian :

Marilah kita didik dan bimbing masyarakat dengan bekerja keras menyebarkan agama Allah dan apa yang lebih penting mempertahankan Syariah Allah swt . Jika tidak kita yang bangkit dengan semangat yang tinggi dan kesedaran yang mantap , siapa lagi yang boleh kita harapkan agar mereka bangkit mempertahankan kesucian agama Islam ini .

Friday, May 05, 2006

Assalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh .


Selamat datang buat semua sahabat perjuangan ke Shoutul Mimbar dan terima kasih atas sokongan semua . Semoga Islam terus berkembang dan tersebar pesat merentasi menara mimbar di seluruh negara bahkan dunia ini . Insyaallah .


Harapan saya agar usaha kecil ini dinilai sebagai amal soleh dan dikurniakan ganjaran setimpal dari Allah Jalla wa A'la .