Khutbah Jumaat ( 001 )
PERTAHANKAN SYARIAH
Sidang jumaat yang dihormati sekelian .
Saban minggu , kita diperingatkan oleh suara mimbar agar bertaqwa kepada Allah swt. dengan sebenar - benar taqwa . Taqwa yang di terjemah sebagai akur , tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan apa jua yang dilarang oleh Allah swt. Taqwa yang membawa kita mengabdikan diri kepada Allah tanpa syirik .
Firman Allah swt :
Wahai manusia , takutlah oleh mu kepada Tuhanmu , sesungguhnya gegaran di hari penentuan ( kiamat ) adalah suatu yang sangat dahsyat .
Surah Al Hajj : Ayat : 1
Sidang Jumaat sekelian :
Ummat Islam dewasa kini kian dihimpit penghinaan yang tidak berkesudahan , ekoran daripada sikap sebahagian besar ummat Islam yang tidak lagi memperdulikan soal syariah , apatah lagi untuk mempertahankannya. Mereka hanya mampu memandang sepi , menyaksikan Islam diserang dari segenap arah oleh golongan Islam Liberal , Sisters In Islam , IFC dan beberapa individu anggota Kabinet yang anti Islam .
Kumpulan ini mengambil kesempatan sepenuhnya di atas kealpaan dan kelemahan yang dialami oleh ummat Islam untuk memberi pukulan yang hebat dengan maksud mematikan semangat dan Ruh Islam di Negara ini . Benarlah apa yang dipertegaskan oleh Al Quranul karim :
Orang - orang yang ingkar/kufur sangat gemar menanti saat dan detik kamu leka dari senjata kamu dan barang milik kamu sehingga mereka menyerang kamu dengan serangan yang satu ( secara serentak/gerila ).
Surah An Nisa' : Ayat 102
Sidang Jumaat sekelian :
Saksikanlah apa yang telah dilakukan oleh mereka pada hari ini , sedang ummat Islam rata - ratanya berpeluk tubuh , mereka telah turun ke padang dengan menganjurkan seminar , forum bertemu masyarakat bagi mengumpul sokongan untuk terus memberi pukulan kepada Islam dengan menuntut agar satu peruntukkan perlembagaan perkara 121 ( 1A ) , yang sedia memberi sedikit nafas kepada Ummat Islam di negara ini ,di mansukhkan daripada nas perlembagaan negara .
Semata - mata perkara 121 (1A) yang memberi peruntukkan agar keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dibatalkan oleh mana - mana mahkamah dalam negara ini , tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka .
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt .
Kita tidak menafikan kemungkinan berlaku kelemahan dalam pengendalian dan pengurusan mahupun teknikal penghakiman di Mahkamah Syariah , namun itu bukan bermakna mereka berhak untuk mempersoalkan perkara yang membabitkan prinsip dan dasar syariah serta mahkamahnya di negara ini .
Kenapa tidak sahaja mereka menumpukan kepada aspek membaiki pentadbiran dan pengurusan serta pengendalian mahkamah Syariah , berbanding sikap yang diambil oleh mereka agar kredebiliti Mahkamah Syariah dicabar . Atau mereka sememangnya ingin menunjukkan semangat permusuhan mereka terhadap Islam ? dan amat malang sekali apabila ada dikalangan ummat Islam terpedaya dengan sikap yang diambil oleh musuh - musuh Islam ini .
Perlu disedari , Negara kita bukanlah negara yang melaksanakan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt , iaitu menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai hukum/perlembagaan yang paling tinggi dalam negara ini .
Negara kita juga bukanlah negara yang telah menjalankan hukum Allah sebagaimana apa yang diperintahkan oleh Allah swt :
Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar kamu menunaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dikalangan manusia , maka berhukumlah dengan adil ( berasaskan hukum Allah ) .
Surah An Nisa' 58
Namun sekurang - kurangnya kita masih ada satu ruang yang kecil untuk ummat Islam bernafas di negara ini , apabila perlembagaan negara memberi peruntukan sedemikian kepada Mahkamah Syariah .
Andainya ruang yang sesempit ini juga mahu ditutup oleh mereka , maka dimana lagi ruang bagi ummat ini menjaga , sekurang- kurang hak mereka yang berkaitan dengan syara' , apabila selepas ini , keputusan mahkamah syariah bila - bila masa sahaja boleh dibatalkan oleh mahkamah sivil . ( andainya peruntukkan 121 (1A ) perlembagaan ini berjaya dimansukhkan oleh mereka )
Namun Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah swt . kerana YAB Perdana Menteri telah mengambil keputusan awal untuk tidak meminda artikel 121 ( 1A ) itu biarpun beberapa anggota menteri kabinet mendesak menerusi memorundum kepada kepada YAB Perdana Menteri .
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian .
Kita sewajarnya bangkit ! melahirkan rasa kesal dan bantahan kita terhadap usaha yang dilakukan oleh golongan anti agama ini . Kita juga berharap agar pihak berkuasa bertindak tegas menjaga kesucian agama dalam negara ini dengan tidak membiarkan agama dan seluruh institusinya dipersenda dan diperkotak-katik sedemikian rupa .
Saudara ! sungguhpun begitu , di sana ada satu perkara yang perlu diberi perhatian . Agar Islam dan ummatnya tidak lagi diperlakukan begini . Apa yang saya maksudkan ini ialah kepekaan dan daya sensitiviti kita sebagai umat Islam perlu dipertingkatkan . Sangat menyedihkan kita , apabila mutaakhir ini , kita bukan sahaja berhadapan dengan kepungan musuh dari arah luar ,malah kita juga sedang bergelut menghadapi barah dan penyakit dalaman ummat Islam sendiri .
Bayangkan saudara , di mana hendak diletakkan maruah kita , apabila anak bangsa kita pada hari ini , tanpa segan silu tergamak melakukan perbuatan zina di khalayak ramai sebagaimana yang dipaparkan di muka hadapan , melalui 4 keping gambar slide oleh akhbar Bacaria bil : 2187 . Edisi Rabu pada 28 dec 2005 yang lalu .
Demikian juga apa yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri , sewaktu saya menyertai xpdc dakwah di Dataran KLCC pada malam sambutan tahun baru masihi 2006 yang lalu . Perempuan ditangan kiri mereka sementara arak ditangan kanan mereka . Mereka bukan sahaja berhibur tetapi berpesta dengan maksiat yang keji tanpa rasa berdosa dan bersalah .
Mereka lansung tidak ambil pusing tentang peringatan nabi saw :
...Tidak jelas perzinaan pada sesuatu kaum sehinggalah mereka berani berterus terang ( terbuka ) melakukannya , mereka akan ditimpa taun ( wabak ) yang merebak dikalangan mereka . Mereka akan ditimpa penyakit yang belum pernah menimpa ummat yang terdahulu .
Riwayat Ibnu Majah .
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian :
Marilah kita didik dan bimbing masyarakat dengan bekerja keras menyebarkan agama Allah dan apa yang lebih penting mempertahankan Syariah Allah swt . Jika tidak kita yang bangkit dengan semangat yang tinggi dan kesedaran yang mantap , siapa lagi yang boleh kita harapkan agar mereka bangkit mempertahankan kesucian agama Islam ini .
1 Comments:
salam...khutbah idul fitri diperlukan...tq
Post a Comment
<< Home