Friday, October 05, 2007

Khutbah Aidil Fitri 1428 Hijriyah .

فيا أيها الناس أصيكم و إياي بتقوى الله و لا تموتن إلا و أنتم مسلمون

Pada saat dan ketika yang penuh keberkatan ini, marilah kita memanjatkan kesyukuran yang ikhlas ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita bertemu lagi dengan Idul Fitri, yang telah merestui kita berhimpun di dalam masjid pada hari ini.

Maka wajarlah kita bersyukur lantaran kita telah berjaya mengharungi ujian sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, kita telah berjaya mengharunginya dengan penuh ketabahan serta kesabaran untuk menggamit kasih dan rahmat Allah SWT Yang Maha Agung.

قَدْ أفَلحَ من تزكى و ذكر اسم ربه فصلى

“... Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia sembahyang.”

(al-A’la: 14-15)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian!!

الله أكبر كبيرا

Allah yang Maha Besar

لا إله إلا الله و الله أكبر

tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah adalah Maha Besar

و لله الحمد

dan segala pujian, sanjungan hanyalah untuk Allah semata-mata.

Itulah ucapan, itulah lafaz-lafaz yang mulia yang kita kumandangkan bagi menyerikan hari raya kita. Kalimah Tauhid yang kita ucapkan, kita luahkan, kita keluarkan dari hati yang tulus ikhlas. Lafaz-lafaz yang mulia ini akan terus kita gemakan hari ini, esok dan seterusnya, selagi nyawa kita dikandung badan. Kerana kita sedar kalimah Tauhid yang kita ucapkan boleh memberi daya kekuatan kepada diri kita, boleh menjadi bateri kepada kehidupan kita.

Ucapan kalimah Tauhid yang mengajar kita bahawa sesungguhnya yang maha besar itu hanyalah Allah SWT, yang lain kecil belaka. Yang kita sembah, Yang kita Agungkan, yang kita junjung tinggi buat selama-lamanya hanyalah Allah. Tidak ada ketaatan secara mutlak kecuali kepada Allah SWT, manakala ketaatan kepada makhluk hanya dalam bingkai kerangka mentaati Allah SWT jua.

Dengan kalimah Tauhid kita menyatakan kita sedia mengagungkan sesuatu yang diagungkan Allah SWT, dan kita bersedia merendahkan sesuatu yang direndahkan Allah SWT. Kita bersedia bermusuhan dengan sesiapa yang dimusuhi Allah SWT. Kita hanya bersedia mendukung dan mendaulatkan Agama Allah SWT, biarpun tidak disenangi oleh musuh-musuh Allah.

Kita yakin dengan sungguh-sungguh bahawa Takbir, Tasbih dan Tahmid yang kita gemakan ini dapat memantapkan dan dapat meneguhkan aqidah keimanan kita.

Kita yakin dengan sungguh-sungguh bahawa hanya dengan kesegaran iman dan keteguhan aqidah di dalam kalbu akan menentukan mutu kualiti jalan berfikir kita dalam menegakkan kehidupan berumah tangga, bermasyarakat dan bernegara.

Bersama gema takbir, mengagungkan Allah Al-Jabbarul Mutakabbir, kesyahduan Syawal 1428 menggamit naluri setiap insan yang mentauhidkan Allah Azza wa Jalla, agar menghayati kebesaran dan keagungan al-Khaliq yang pastinya jauh mengatasi kebesaran dan kekuasaan makhluk. Seterusnya menyedari dan menginsafi kekerdilan kita sebagai hamba Allah SWT, yang pastinya pula tidak mampu menentang kekuatan Ilahi.

Saban tahun umat Islam berhimpun di pagi Syawal, melafazkan kalimah kebesaran Ilahi dengan penuh khusyuk dan rasa rindu, diiringi pula dengan ingatan yang terus mekar terhadap peristiwa Ahzab yang dihancurkan oleh Allah SWT.

ألله أكبر ألله أكبر ألله أكبر

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian!!

Hari ini sekali lagi kita sama-sama bertakbir, kita sama-sama memperingati peristiwa Ahzab, bala tentera bersekutu yang memerangi Islam pada zaman Rasulullah s.a.w.

Mereka terdiri dari kalangan Kaum Musyrikin Arab, dengan sokongan golongan pemimpin dan Ulama’ Yahudi ahli Kitab yang mengetahui ajaran Islam dan mengenali Rasulullah Alaihi Salam, tetapi menentang dan memusuhinya.

Mereka menghina Rasulullah s.a.w dan berusaha untuk membunuhnya serta membinasakan umat Islam dengan berbagai cara dan tipu helah. Mereka golongan yang dinamakan:

غير المغضوب عليهم ولا الضالين

“...... bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan jalan orang-orang yang sesat.”

- orang-orang yang dimurkai Allah, yang tidak mendapat Hidayah (petunjuk) ke jalan yang benar walaupun mereka berilmu agama dan membaca kitab-kitabnya. Oleh itu kita diajar berdoa dalam tiap-tiap rakaat sembahyang, supaya tidak menjadi seperti mereka dan jangan terikut-ikut dengan cara mereka.

Mereka berjaya mengumpulkan puak-puak Arab Jahiliah, sehingga membentuk bala tentera yang besar yang dinamakan Ahzab (barisan bersekutu) untuk menyerang negara Islam, Al-Madinah Al-Munawwarah.

Tiada kesalahan yang dilakukan melainkan kerana pemimpin dan rakyatnya beriman dan beramal dengan hukum Allah yang terkandung di dalam Al-Quran. Firman Allah taala menceritakan perangai musuh-musuh Islam di sepanjang zaman:

و ما نقموا منهم إلا أن يؤمنوا بالله العزيز الحميد

“..... Dan mereka tidak marah dan menyeksa orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!”

(al-Buruuj: 8)

Musuh-musuh islam itu menyangka bahawa menjadi orang-orang Islam dan beramal dengan ajaran Islam adalah satu jenayah dan kesalahan yang mesti dilawan dan dihapuskan. Walaupun mereka tahu bahawa Islam adalah benar dan adil.

Hari ini kita menyebut-nyebut :

وهزم الأحزاب وحدة

“... dan Allah membinasakan bala tentera ahzab dengan keesaan-Nya.”

Kita mengulangi dan menyebut-nyebut peristiwa itu setiap kali berhari raya untuk mengambil pengajaran daripada apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiallhuanhum yang telah berjaya mengalahkan musuh yang besar itu dengan pertolongan Allah.

Kita menyebut-nyebut juga supaya memberi amaran kepada umat Islam, bahawa musuh bala tentera Ahzab juga ada pada zaman ini, dan mereka terus menentang Islam sehingga hari ini.

Hari ini kita berhadapan dengan kepungan Ahzab moden yang memiliki pelan orientasi serupa sebagaimana Ahzab jahiliah. Mereka mara untuk menghancurkan umat Islam, mereka meluru untuk menghalang dakwah Islam dengan semangat dendam membara mereka yang tidak pernah kunjung padam. Sebagaimana firman Allah SWT:


“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(Al-Maaidah Ayat: 82 )

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian!!

Bala tentera Ahzab Moden yang mengepung Islam dan penganut-penganutnya dari segenap penjuru. Mereka terus berusaha untuk menghapuskan agama Islam dan membinasakan penganut-penganutnya. Walaupun Allah SWT. berjanji memelihara Islam, tetapi umat Islam juga diwajibkan berjihad menegakkan Islam dan mempertahankannya.

Bala tentera Ahzab Moden sekarang melakukan pelbagai cara dan tipu helah bagi menentang kita sebagai umat Islam. Bukan sahaja dengan bala tentera yang menyerang dan membunuh umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Lubnan, Somalia dan lain-lain, tetapi juga dengan merosak fikiran dan akhlak umat Islam melalui Media, Akhbar, Majalah, TV, Internet dan lain-lain.

Pemimpin-pemimpin bala tentera Ahzab Moden diketuai oleh Amerika dan Eropah secara terang-terangan berucap dengan kata-kata menuduh agama Islam sebagai ganas dan zalim, padahal mereka yang sebenarnya ganas membunuh umat manusia dan merosak dunia di mana-mana sahaja.

Kita jangan mudah lupa peristiwa lukisan kartun yang menghina Rasulullah s.a.w., Kenyataan Pope Benedict (Ketua Agama Kristian Katolik) yang menghina Nabi s.a.w dan agama Islam serta usaha-usaha untuk menarik orang-orang Islam supaya menjadi murtad - meninggalkan agama Islam dengan pelbagai cara seperti menggunakan wang, perempuan, hiburan, bantuan-bantuan perubatan dan lain-lain kepada orang-orang yang miskin, bermasalah dan jahil. Itu semua adalah cara peperangan Ahzab yang baharu.

Yang lebih merbahaya ialah usaha memurtadkan orang-orang Islam supaya meninggalkan agama Islam, atau menentang mana-mana ajaran Islam.

Kita hendaklah memahami bahawa murtad itu bukan sahaja dengan cara memeluk agama lain daripada Islam seperti Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.

Adalah menjadi murtad juga dengan sebab ingkar atau menghina mana-mana hukum Allah yang disebut di dalam Al-Quran, Hadis Nabi s.a.w. dan Ijmak para Ulama seperti Wajibnya Sembahyang, Puasa Ramadhan, Zakat dan Haji, Haramnya Berzina, Riba’, Arak dan Judi.

Termasuk juga perkara urusan dunia seperti pakaian yang wajib menutup aurat, beramal dengan undang-undang jenayah Islam, Hudud, Qisas dan lain-lain yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

Musuh-musuh Islam menyerang kita bukan sahaja dengan menggunakan senjata yang membunuh, yang lebih merbahaya lagi ialah membunuh iman yang ada dalam hati kita atau melemahkan semangat Islam, supaya umat Islam berada dalam keadaan jahil agama dengan alasan untuk maju dengan ilmu dunia dan mencapai kemajuan.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian!!

Sekarang kita berada dalam keadaan yang sangat bahaya, kerana terlalu ramai anak-anak dan pemuda pemudi yang jahil ilmu agama, terutama ilmu fardu ain yang diwajibkan kepada tiap-tiap orang Islam.

Mereka tidak mengetahui hukum halal dan haram serta jahil tentang peraturan-peraturan agama. Mereka melakukan zina, menagih dadah dan arak, bergaul bebas lelaki dan perempuan dan bermacam-macam lagi.

Maknanya senjata tentera Ahzab sudah masuk ke dalam masyarakat dan keluarga umat Islam.

Begitu berani musuh-musuh Islam. Pemimpin Amerika yang menjadi kuasa besar dunia hari ini meminta kerajaan-kerajaan negara Umat Islam supaya mengubah pelajaran agama di Sekolah-sekolah Agama.

Mereka mengarahkan supaya membuang mata pelajaran yang mereka tuduh sebagai ganas dan ketinggalan zaman seperti hukum berjihad, hukum wajib menutup aurat, hukum haramnya pergaulan bebas lelaki dan perempuan, Hukum wajibnya mencegah jenayah dengan hukum Islam, mencegah segala kemungkaran dan lain-lain.

Apa maknanya kalau mereka sudah berani campur tangan dalam urusan agama kita?.

Ini menunjukkan bahawa serangan pemikiran tentera Ahzab moden sudah memasuki ke dalam negeri umat Islam.

Cara yang dilakukan oleh Azhab Moden itu ialah usaha-usaha mereka supaya orang-orang Islam meninggalkan agama mereka dan masuk ke dalam apa sahaja agama dan ajaran-ajaran sesat yang lain.

Kalau mereka tidak berjaya menukar agama mereka tetap berusaha supaya orang-orang Islam tidak beramal dengan agama dan mengerjakan maksiat seperti menagih dadah, arak, judi, berzina, riba’, mendedahkan aurat, hiburan yang melampau, sukan yang menggila dan lain-lain.

Kerana mereka tahu dengan maksiat yang dilakukan itu iman mereka menjadi lemah dan akhirnya hilang hanyut dicelah-celah maksiat tersebut.

Walaupun demikian agama Islam sedang berkembang di kalangan bijak pandai di negara bukan Islam apabila mereka mengkaji Islam kerana ingin tahu hakikat Islam. Inilah yang menyebabkan musuh-musuh itu sangat marahkan Islam dan penganutnya.

Dalam masa yang sama kita yakin bahawa Allah tetap memelihara agamanya maka binasalah mereka yang tidak bersama dengan Islam sepenuhnya.

Demikianlah tabiat Islam agama Allah SWT. Suatu agama dan cara hidup yang tak mungkin dapat ditewaskan oleh musuh walau apa cara yang digunakan oleh mereka .

Benarlah firman Allah SWT:

يريدون ليطفؤا نور الله بأفواههم و الله متم نوره ولو كره الكافرين

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

(As-Saff: 8)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian!!

Syawal yang indah dan permai ini menjadi saksi penting peristiwa kemenangan tersebut dan berperanan memperbaharui semangat perjuangan yang berjiwa menang terhadap umat itu di saban tahun .

Mudah-mudahan umat Islam di sepanjang zaman, tidak leka dan alpa daripada tanggungjawab mereka mempertahankan agama dan syariat Ilahi, tidak takut dan akur kepada musuh–musuh Allah kendati pun mereka memiliki segala kekuatan material.

Sebaliknya menjadi umat yang berwibawa dan bermaruah , dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa mahupun tempatan.

Bukankah Allah SWT telah berfirman:


“....Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...”

(al-Maaidah: 3)

Semoga Idul Fitri tahun ini disambut dengan pengertiannya yang sebenar, sesuai dengan laungan takbir dan tahmid yang dikumandangkan, menjadi mercu tanda kehebatan Islam dan umatnya.

Kerana kita tidak mampu lagi hanya melihat dan hanya mengeluh, musibah demi musibah yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.


Umat Islam di Chechnya menjadi daging lapahan golongan musyrikin Rusia

Umat Islam di Palestin menjadi lauk ratahan golongan Yahudi Israel.

Umat Islam di Afghanistan, Iraq menjadi hamba jajahan musyrikin Amerika.

Umat Islam di seluruh dunia menjadi bola tendangan golongan mustakbirin
kuasa–kuasa besar dunia pakatan Al-Ahzab moden.

Apakah kita masih tega membiarkan situasi ini berlarutan? Soalnya sampai bila, Muslimin Muslimat yang dikasihi Allah?

Mereka melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah, mereka melancarkan perang saraf dan provokasi untuk memecahbelahkan umat Islam. Tekad dan hasrat mereka hanya satu, menghancurkan Islam dan umatnya!!

Saudara!!

Apa yang lebih malang, ialah sikap sebahagian pemimpin dan umat Islam yang terpesona dengan rentak tari musuh, mereka menjadi mata dan telinga musuh untuk memukul Islam dari dalam, menikam Islam dari belakang.

Pelbagai perkataan dan kalimah yang dipinjam dari library orang–orang Barat
seperti Militan Islam, Pelampau Islam, Ekstremis Islam dan lain–lain lagi dihamburkan kepada mereka yang berjuang untuk mendaulatkan Syariat Allah SWT.

Lebih memburukkan keadaan apabila tindakan–tindakan drastik diambil dengan penuh rasa curiga terhadap Islam, didorong oleh kepercayaan melulu kepada tohmahan barat. Hampir seribu buah sekolah dan institusi pengajian Islam di Pakistan telah ditutup dengan tuduhan sekolah–sekolah tersebut menjadi sarang terrorist.

Universiti Al-Azhar turut menerima tekanan daripada Amerika dan sekutunya supaya tidak menjadikan Jihad sebagai syllabus pengajian di universiti tertua itu. Tekanan yang serupa diterima oleh University King Saud di Arab Saudi.

Tidak cukup dengan itu mereka mengubah pengertian Jihad yang sebenar kepada Jihad bentuk baru ciptaan mereka.

الله أكبر ألله أكير الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian!!

Alhamdulillahlah atas hikmah yang besar di atas pencerobohan Yahudi Laknatullah ke atas negara Lubnan, maka bangkit kembali anak-anak muda Islam bangun berslogankan Jihad mempertahankan agama Allah SWT menghambat keluar Yahudi dan sekutunya Amerika dari bumi Anbia.

Maka itu semangat Jihad telah kembali berada di dada-dada umat Islam seluruh dunia yang amat membimbangkan Ahzab moden lalu mereka cuba berlembut dengan umat Islam.

Marilah kita merealisasikan kalimah dan slogan kemenangan yang kita laungkan di pagi Idil Fitri ini untuk membina kembali semangat jihad di kalangan kita yang kian luntur. Menyemarakkan kembali semangat perpaduan di kalangan kita yang kian longgar. Memulihkan kembali keyakinan terhadap keupayaan Islam sebagai agama yang mampu berdaulat di atas muka bumi ini.

Kita tidak punya banyak masa untuk lengah dan leka. Jangan kita biarkan hidangan lazat dan kemeriahan berhari raya menenggelamkan sensitiviti kita terhadap ancaman dan tindakan musuh–musuh Allah SWT yang tidak pernah mengenal simpati terhadap mangsanya.

Marilah kita bangkit beriringan dengan laungan takbir raya (slogan kemenangan ummah sepanjang zaman) demi mengangkat kembali martabat ummah menjulang semula panji dan kedaulatan Islam .

Tanggapilah Idul Fitri ini dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, jadikanlah kemeriahannya pula peluang untuk membina ukhuwah Islamiah yang utuh dan jambatan untuk menyampaikan dakwah secara fardiah.

Marilah kita beriltizam dengan Islam kerana iltizam dan Istiqamah inilah yang menjadi syarat berkembar untuk menjayakan projek membina hubungan utuh antara kita dengan Allah Azza Wa Jalla. Sementara itu, melalui jambatan hubungan yang utuh inilah, Allah SWT. akan menyalurkan pertolongannya kepada kita untuk menghadapi Ahzab moden ini.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah dengan iltizam dan istiqamah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka, dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka”



(Muhammad: 7 – 8)